Panduan Nilai & Etika Pendidikan

Asas Negara.
Jiwa Pendidikan.

Mengenali prinsip Rukun Negara, menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan memelihara etika profesion keguruan demi masa depan pendidikan Malaysia.

01 / Kenegaraan

Rukun Negara

Lima prinsip teras yang menjadi pedoman perpaduan dan kehidupan rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia berbilang kaum mengibarkan Jalur Gemilang dalam sambutan perpaduan
MALAYSIA

Rukun Negara

Lima prinsip sebagai panduan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
01

Kepercayaan kepada Tuhan

02

Kesetiaan kepada Raja dan Negara

03

Keluhuran Perlembagaan

04

Kedaulatan Undang-undang

05

Kesopanan dan Kesusilaan

Video: Prinsip Rukun Negara — Jabatan Penerangan Malaysia. Tonton di YouTube

02 / Asas Pendidikan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Keseluruhan Falsafah Berpaksikan Ketuhanan
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

Terokai unsur-unsur utama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan melalui bahagian interaktif di bawah.

+Warganegara Malaysia yang Baik
  • Percaya dan patuh kepada Tuhan
  • Berilmu pengetahuan
  • Berakhlak mulia
  • Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat dan negara
  • Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu
+Unsur Intelek
  • Unsur intelek ini mengambil kira aspek berikut:
  • Hikmah iaitu ilmu yang boleh membawa kepada kebenaran
  • Daya pemikiran yang kreatif dan inovatif
  • Daya pemikiran yang logik dan analisis
  • Ilmu yang bermanfaat
  • Masyarakat memiliki sikap suka membaca serta cintakan ilmu pengetahuan
+Unsur Rohani dan Emosi
  • Unsur-unsur rohani dan emosi merangkumi aspek berikut:
    • Keyakinan terhadap Tuhan
    • Kepercayaan beragama
    • Kemantapan jiwa
    • Penghayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat
    • Berbudi pekerti mulia
    • Berbakti dan berkorban
+Unsur Jasmani
  • Kecergasan fizikal dan kesihatan diri
  • Dapat menggunakan anggota dan tenaga fizikal sendiri untuk berdikari dan hidup bermasyarakat
03 / Etika Profesion

Tatasusila Profesion Keguruan

Ikrar, tanggungjawab dan panduan tingkah laku yang menjadi asas integriti profesion perguruan.

“Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang, dan yang percaya demokrasi, kebebasan perseorangan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. Melalui pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka, memperolehi pengetahuan yang telah terkumpul sejak berzaman, dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya.”
+Tanggungjawab Terhadap Pelajar
  • 01
    Kebajikan & keselamatan

    Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.

  • 02
    Keadilan untuk semua

    Bersikap adil kepada pelajar-pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, keturunan atau agama.

  • 03
    Kerahsiaan maklumat

    Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.

  • 04
    Pengajaran tanpa bayaran

    Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.

  • 05
    Teladan yang baik

    Menunjukkan suatu cara berpakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar.

  • 06
    Peningkatan profesionalisme

    Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.

+Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa
  • 01
    Menghormati ibu bapa

    Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

  • 02
    Kerjasama sekolah dan rumah

    Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumah tangga.

  • 03
    Memelihara kerahsiaan

    Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumah tangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.

  • 04
    Berkongsi maklumat dengan bijaksana

    Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.

  • 05
    Tidak dipengaruhi status

    Mengelakkan diri dari menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar.

  • 06
    Menjaga kepercayaan

    Mengelakkan diri dari mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan sesuatu kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

+Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara
  • 01
    Menjaga kepentingan umum

    Mengelakkan diri dari menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.

  • 02
    Membina warganegara berguna

    Memupuk dalam diri setiap pelajar dengan sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.

  • 03
    Berbakti kepada masyarakat

    Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.

  • 04
    Kerjasama dengan masyarakat

    Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.

  • 05
    Sumbangan kepada masyarakat

    Memberikan sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawan masyarakat.

  • 06
    Tingkah laku yang sopan

    Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan kami sehari-hari dengan baik.

+Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Perguruan
  • 01
    Menjaga nama baik rakan

    Mengelakkan diri dari membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa atau membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.

  • 02
    Menjaga kecekapan guru

    Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru.

  • 03
    Melaksanakan amanah

    Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.

  • 04
    Membantu guru baharu

    Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan.

  • 05
    Memelihara nama baik profesion

    Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.

  • 06
    Penglibatan dalam pertubuhan

    Akan menjadi ahli sebuah pertubuhan guru.

+Catatan

Guru yang dimaksudkan dalam konteks Tatasusila ini ialah orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah institusi pendidikan peringkat rendah, menengah dan tinggi, termasuk guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran organisasi dan penyeliaan pendidikan.

04 / Rujukan

Muat Turun Dokumen

Gunakan fungsi cetak pelayar untuk menyimpan halaman ini sebagai PDF. Untuk fail dokumen rasmi yang berasingan, pautan muat turun perlu ditambah apabila URL fail disediakan.